Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Ambil barang hari bekerja, elak dokumen rahsia hilang

SHAH ALAM, 13 JULAI: Bekas EXCO Perumahan Haniza Talha perlu mengisi borang sebelum dibenarkan mengambil barang di pejabat Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses mengambil barang itu perlu diiringi pegawai bertanggungjawab bagi mengelak aset dan dokumen rahsia dibawa keluar.

“Kita sudah maklumkan kepada beliau supaya datang pada hari bekerja iaitu Isnin tetapi tetap mahu ambil barang pada hari Sabtu dan Ahad, seolah-olah sengaja mahu timbulkan isu untuk menagih simpati.

“Kita tidak mahu dokumen rahsia disebar dan disalah guna, malah saya sendiri jumpa beliau pada 29 Jun lalu dan beri keizinan kepadanya untuk kekal di pejabat beberapa hari lagi bagi membahagi tugas tertangguh kepada pegawai dan kakitangan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan pakej rangsangan ekonomi akibat penularan Covid-19 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada Sabtu Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya kesal kerana pegawai beliau tidak dapat mengambil barang kerana pejabat dikunci.

Kerusi EXCO perumahan dan kehidupan bandar kosong berikutan pelucutan keahlian Haniza dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun lalu.


Pengarang :