Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyerahkan cek cura berjumlah RM10,000 kepada Pengerusi PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Melawati, Kuala Lumpur Thagavelu Iyasamy (dua, kanan) pada 30 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bantuan naik taraf kemudahan sekolah diagih bulan depan

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Bantuan bagi menaik taraf dan membeli kelengkapan sekolah pelbagai aliran diagih bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan setiap sekolah perlu mengisi borang lengkap dan bantuan mengambil kira keperluan serta bilangan pelajar.

“Untuk tahun ini, bantuan diberi mulai bulan depan bagi menaik taraf serta membeli kelengkapan sekolah termasuk membantu murid susah,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Taman Melawati di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta peruntukan pembelian van untuk pengangkutan murid.

Sebanyak RM24 juta diperuntuk setiap tahun bagi pelaksanaan Program Agihan Bantuan Sekolah meliputi sekolah agama rakyat, pusat tahfiz, SJK Cina dan Tamil serta sekolah menengah persendirian Cina.

Sebelum itu, Amirudin dalam ucapannya menyifatkan Malaysia unik kerana membenarkan sekolah pelbagai aliran diwujudkan tanpa meminggirkan semangat perpaduan.

“Kebenaran aliran SJK Cina dan Tamil bukan bermakna kita meminggirkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat di Malaysia dan Selangor.

“Sempena bulan kemerdekaan, saya menyeru rakyat pelbagai kaum mengukuhkan semangat permuafakatan, kefahaman dan toleransi antara satu sama lain, malah SJK Tamil berperanan besar memupuk semangat ini dalam kalangan murid,” katanya.


Pengarang :