BERITA UTAMASELANGOR

MB: Harga rumah dikawal, pastikan rakyat mampu beli

SHAH ALAM, 13 JULAI: Harga rumah di Selangor sentiasa dikawal bagi memastikan aset tersebut mampu dibeli rakyat tempatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar pentadbiran Kerajaan Negeri menetapkan sektor perumahan dibahagikan kepada dua jenis iaitu harga kawalan dan bebas.

“Tiada definisi atau istilah rumah mewah di Selangor, begitu juga definisi rumah murah atau kos sederhana kerana yang ada di negeri ini ialah rumah harganya kita kawal dan harga bebas.

“Istilah rumah murah atau kos sederhana dicipta oleh pihak pemaju perumahan dan bagi Kerajaan Negeri, kita tidak mengguna pakai istilah ini,” kata Dato Menteri Besar pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan ADN Sementa Dr Daroyah Alwi berkenaan bilangan rumah mewah tidak terjual dan sama ada Kerajaan Negeri bersedia menjual rumah mewah kepada warga asing.

Amirudin berkata warga asing dibenarkan membeli rumah berharga RM2 juta berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini bagi mengatasi isu lambakan rumah tidak terjual.

“Pada 2019 mesyuarat EXCO meluluskan program khas had harga jualan dan perolehan hartanah warga asing yang membenarkan rumah minimum RM2 juta dijual kepada warga asing,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar berkata harga ambang pembelian hartanah oleh warga asing dikurangkan kepada RM1.5 juta bagi jenis strata dan RM2 juta untuk banglo atau rumah berkembar berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Beliau berkata penurunan harga dibuat selepas membuat penilaian data dibentangkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).


Pengarang :