Pelukis Muhammad Suhaimi Ali 27, ketika melukis mural gergasi potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan wajah-wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kecam conteng mural Dr Noor Hisham, pemimpin negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar mengecam keras perbuatan menconteng mural ketua pengarah kesihatan dan pemimpin negara dengan kata-kata kesat di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme yang berlaku di Seksyen U12 Shah Alam. Saya menggesa pihak MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan polis untuk bekerjasama menyiasat dan memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya,” tulisnya hari ini.

Menurut portal Astro Awani, mural gergasi yang memaparkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Dr Noor Hisham Abdullah diconteng dengan perkataan tidak senonoh.

Turut terkesan potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mural berkenaan dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat mural tersebut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda baginda.

Dr Noor Hisham turut bergambar bersama mural potretnya dan menghargai hasil seni tempatan itu.


Pengarang :