Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Konvoi Info On Wheels Merdeka pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kekalkan kestabilan, fokus bantu rakyat tangani impak Covid-19

SHAH ALAM, 28 JULAI: Selangor kekal fokus untuk mengukuhkan kestabilan pemerintahan bagi memastikan kesan ekonomi rakyat ketika berdepan Covid-19 dapat ditangani sebaik mungkin menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi fasa ketiga.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau yakin pelan itu mampu dilaksanakan dengan usaha bersama penjawat awam kerana sebelum ini Kerajaan Negeri berjaya menangani penularan wabak dengan inisiatif saringan walaupun berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan.

“Saya sebutkan berulang kali, saya sebagai ketua kepada pentadbiran negeri bersama pimpinan lain termasuk EXCO, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, kita akan mengekalkan selagi mana unsurnya adalah kestabilan, unsurnya bagi memastikan negeri ini keluar daripada serangan Covid-19 dan bagaimana kita menangani impak (ekonomi).

“Alhamdulillah kita tidak bertempur dan berperang dengan isu-isu serta kes perbedaan politik yang hingga membawa kehancuran serta ketidakstabilan negeri sebagai mana yang berlaku di beberapa tempat tetapi kita juga berdepan beberapa cabaran seperti kesan ekonomi yang harus ditangani.

“Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor lalu membuktikan dengan terbukanya dan sikap ‘gentleman’ kita, kita membentangkan dan menjadi negeri pertama di Malaysia membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai puluhan bilion Ringgit daripada segi nilai kitaran ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada majlis Pelancaran dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Amirudin sebelum ini membentangkan pelan pemulihan yang menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Keseluruhan nilai ekonomi rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260.14 juta dibelanjakan yang memberi manfaat kepada penduduk Selangor.


Pengarang :