Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan saringan Covid-19 di perkarangan Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Keputusan saringan hadir Dewan Negeri diketahui Khamis

SHAH ALAM, 7 JULAI: Keputusan saringan Covid-19 ke atas 700 individu yang terlibat dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) diperoleh Khamis ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pencegahan diambil bagi memastikan persekitaran persidangan bermula Isnin depan dalam keadaan selamat serta bebas jangkitan wabak.

Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa suhu badan dan pengecaman wajah sebelum melakukan saringan Covid-19 di perkarangan Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita perlu sentiasa waspada dengan Covid-19 kerana angka serta fakta menunjukkan lebih separuh kes dijangkiti tidak bergejala tetapi kelompok ini sebenarnya pembawa atau penyebar virus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut menjalani saringan di perkarangan Bangunan Annex, SUK hari ini.

Amirudin berkata penularan Covid-19 di negara ini semakin terkawal, namun rakyat diingatkan untuk mengekalkan disiplin serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Berita baiknya tubuh rakyat Malaysia memberi respon kepada virus ini, sebab itu mereka sihat walaupun pembawa virus manakala pesakit kronik dapat bertahan meskipun dijangkiti,” katanya.

Selain Amirudin, barisan EXCO antara 56 wakil rakyat Selangor yang menjalani saringan Covid-19.

Kakitangan DNS dan pengamal media termasuk TV Selangor dan SelangorKini turut menjalani saringan sama.

Ikuti siaran langsung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di saluran YouTube selangortv.my pada 13 Julai.

Persidangan DNS pada 13 hingga 24 Julai juga disiarkan secara langsung di saluran sama.

 


Pengarang :