Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Nama calon EXCO dipersembah kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri telah mempersembahkan nama calon bagi mengisi kekosongan dua kerusi EXCO kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya kini menunggu perkenan tuanku berhubung tarikh angkat sumpah jawatan.

“Istana Selangor akan tetapkan tarikh sesuai angkat sumpah atau jika dapat perkenan, Kerajaan Negeri akan umumkan. Kita ada protokol dan istiadat yang perlu dipatuhi semua pihak, jadi kita tunggu waktu sesuai,” katanya ketika sidang media selepas membentangkan pakej rangsangan ekonomi akibat penularan Covid-19 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 5 Mac pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa pada peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari digugurkan jawatan EXCO kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan.

Pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan memangku EXCO perumahan dan kehidupan bandar susulan kekosongan kerusi ditinggalkan ADN Lembah Jaya, Haniza Talha.

Kekosongan kerusi itu susulan pelucutan keahlian Haniza dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun lalu.


Pengarang :