Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pangku portfolio perumahan dan kehidupan bandar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Dato’ Menteri Besar memangku portfolio perumahan dan kehidupan bandar susulan kekosongan kerusi yang ditinggalkan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua program berkaitan portfolio berkenaan ditangguhkan sementara waktu sehingga dimaklumkan kemudian.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermesyuarat pada Rabu, 8 Julai lepas berkenaan status Haniza bersesuaian dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berhubung pelucutan keanggotaan beliau.

“Hari ini adalah hari terakhir Haniza berkhidmat sebagai ahli MMKN,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dato’ Menteri Besar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga memberi perkenan berhubung hal ini dalam majlis sembah maklum pada Khamis, 9 Julai.

Sehubungan itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan selamat maju jaya kepada Haniza.

Kekosongan kerusi itu akibat pelucutan keahlian Haniza dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun lalu. Turut dipecat empat ahli yang lain.

 


Pengarang :