Penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong menjalankan ibadah korban di Dataran Kampung Sungai Chinchin pada 31 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB puas hati pematuhan SOP ibadah korban

GOMBAK, 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) penyembelihan lembu korban di masjid sekitar parlimen Gombak hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aktiviti sempena sambutan Aidiladha berjalan sempurna dalam suasana norma baharu mengikut garis panduan ditetapkan.

“Operasi penyembelihan berjalan lancar. Bagaimanapun ada penduduk yang datang ke kawasan penyembelihan kurang mematuhi SOP mungkin disebabkan teruja,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program korban di Kampung Sungai Chinchin dekat sini, hari ini.

Program turut disertai isteri beliau, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sementara itu Amirudin berkata 30 ekor lembu disumbangkan kepada beberapa kampung, masjid dan surau parlimen itu semalam.

“Ini rutin tahunan namun jumlah (sumbangan) kali ini kurang berbanding tahun-tahun sebelum ini atas faktor masa serta pelaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.


Pengarang :