Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 15 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Selangor sedia hantar rekod belanja, amal prinsip telus

SHAH ALAM, 15 JULAI: Atas prinsip telus, Kerajaan Selangor bersedia untuk menghantar rekod perbelanjaan hasil sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Perbendaharaan Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akan dibelanjakan secara berhemah.

“Ya, memang sebelum ini kerajaan setuju menyalurkan sebanyak RM130 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis wabak Covid-19, tetapi jumlah itu dibahagikan antara negeri, jadi setiap sebuah negeri dapat RM10 juta.

“Sebahagian besar peruntukan berkenaan digunakan untuk membantu petugas barisan hadapan,” katanya ketika sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Amirudin berkata Selangor komited membantu petugas barisan hadapan termasuk menyediakan kemudahan selesa.

“Malah ada kabin yang menempatkan polis dan tentera disediakan dengan penghawa dingin,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis wabak Covid-19.


Pengarang :