Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni peniaga dan pembeli serta meninjau keadaan Pasar Agro Selangor secara pandu lalu di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB umum RM50 juta jamin bekalan makanan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi pelaksanaan Program Keselamatan Bekalan Makanan dengan menggariskan lima langkah utama.

Langkah tersebut ialah menambah kawasan pertanian, meningkat aktiviti pengeluaran, memperkasa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), meningkat insentif agropreneur dan menggiat kaedah pertanian moden.

“PKPS menjadi tunjang untuk mengerakkan inisiatif jaminan bekalan makanan melalui projek pertanian makanan dan penternakan yang akan mengoptimumkan penggunaan tanah 300 ekar,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Berikut perincian langkah yang diambil dan akan dipertingkat:

1. Menambah pembukaan kawasan pertanian di atas tanah milik Kerajaan dengan mewartakannya serta penggunaan tanah yang belum dimajukan dan untuk tempoh terdekat, oleh anak syarikat yang tidak terlibat di dalam sektor pertanian

2. Meningkatkan aktiviti pengeluaran di Kawasan Tanaman Kekal Pertanian Makanan

3. Memperkasakan PKPS dalam aktiviti pertanian makanan dan seterusnya menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di Selangor

4. Meningkatkan jumlah insentif kepada agropreneur seperti insentif input pertanian, baka ternakan serta peralatan khususnya golongan nelayan

5. Menggiatkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan akuaponik, projek tanaman bertingkat dan penggunaan teknologi seperti dron, sensor dan aplikasi dalam talian

Pelan pemulihan menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pelan ini ialah RM55.85 bilion.

 


Pengarang :