PBTSELANGOR

MBPJ: Rebat cukai taksiran untuk pemilik rumah mesra alam

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan Skim Rebat Cukai Taksiran sehingga 100 peratus atau RM500 bagi pemilik rumah mesra alam berkarbon rendah bermula 15 Julai lalu.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan pemilik rumah yang menjadikan kediaman mereka berkonsep sebegitu daripada aspek tenaga, air, kepelbagaian biologi, pengurusan sisa buangan serta pengangkutan bakal menikmati rebat tersebut.

“Skim ini berlangsung sehingga 16 Oktober depan dengan setiap permohonan dinilai panel penilai bebas dilantik MBPJ dan pemohon layak akan menerima rebat yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun cukai taksiran pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program itu dipilih kerajaan untuk dijadikan sebagai projek perintis pelaksanaan ‘Green Technology Application For Low Carbon Cities’ (GTALCC) iaitu projek pembangunan inisiatif teknologi hijau di Malaysia bersama United Nation Development Programme (UNDP) selama lima tahun.

Ia bertujuan untuk kerajaan Persekutuan merangka strategi memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan ke seluruh negara.

MBPJ merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) menawarkan inisiatif itu sejak 2011 dengan jumlah keseluruhan rebat dalam tempoh sembilan tahun sebanyak RM652,068.17.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui laman sesawang MBPJ: www.mbpj.gov.my atau di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di tingkat 20, Menara MBPJ.


Pengarang :