Penguat kuasa MDHS memeriksa dan menyita barangan perniagaan premis kedai runcit yang diletak di tempat awam tanpa kebenaran ketika operasi bersepadu di Rasa, Hulu Selangor pada 9 Julai 2020. Foto Facebook MDHS
PBTSELANGOR

MDHS sita barang diletak tanpa kebenaran depan premis

HULU SELANGOR, 11 JULAI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita barang perniagaan sebuah premis di Rasa di sini yang diletak tanpa kebenaran di tempat awam dalam operasi kelmarin.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan pemeriksaan juga mendapati premis terbabit dipercayai dikendalikan warga asing kerana pemilik tiada di kedai ketika itu.

“Permit kali lima premis itu sudah tamat tempoh dan semua barangan disita dibawa ke stor MDHS untuk ditahan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu memaklumkan dua lagi premis termasuk di Kalumpang dikenakan tindakan sama dan diarah tutup dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan kotor serta tidak dibenarkan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Katanya, kedua-dua premis terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) 43(1)(a) dan (b), UUK Pelesenan, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

MDHS turut memberi amaran kepada pemilik premis berkaitan supaya menguruskan perniagaan sendiri dan tidak menyalahgunakan permit kerana tindakan tegas boleh diambil jika didapati membuat kesalahan tersebut.


Pengarang :