AGENDANASIONAL

MFL: Liga Malaysia kekal disambung 26 Ogos

SHAH ALAM, 22 JULAI: Liga Malaysia akan tetap disambung semula pada 26 Ogos depan, kata ketua pegawai eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Keputusan untuk menyambung semula liga kekal, tiada perubahan setakat ini dengan semua pasukan sedang giat melakukan persiapan rapi,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sudah dimaklumkan bagi mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementeri Kesihatan (KKM) yang membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos.

Katanya, pada tarikh berkenaan aksi CIMB Liga Super serta Liga Premier akan berlangsung serentak manakala saingan TM Piala Malaysia bermula pada 17 dan 18 Oktober hadapan.

Bagaimanapun, perlawanan tertunda iaitu aksi CIMB Liga Super yang menemukan PJ City FC dengan Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier, UKM FC bertemu Kelantan akan dijalankan pada 22 Ogos.

Ab Ghani mengingatkan pemain, pegawai dan semua pihak terlibat mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan fasa 1.

Sebelum ini Liga Malaysia 2020 ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.


Pengarang :