AGENDAEKONOMINASIONAL

Mihas ke-17 ditunda ke tahun depan – Matrade

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menunda Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) ke-17 ke tahun depan dengan tarikh sebenarnya ditentukan kemudian.

Acara itu sepatutnya diadakan pada 1-4 September depan.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandemik Covid-19 serta kesannya yang boleh menjejaskan reputasi acara tersebut sekiranya diteruskan.

“Mengikut maklum balas diterima oleh Matrade menerusi 46 pejabatnya di luar negara, sebahagian besar pempamer, pembeli dan pengunjung asing masih belum bersedia untuk melakukan perjalanan udara atau mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa di luar negara masing-masing.

“Satu tinjauan dalam kalangan pempamer Malaysia turut mengesahkan lagi kebimbangan disuarakan oleh pempamer asing mengenai kemungkinan jumlah pengunjung dan pembeli yang berkurangan di acara berkenaan susulan tindakan kebanyakan negara mengenakan sekatan pergerakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata penangguhan itu juga demi kepentingan pempamer serta pembeli dan agensi itu percaya Covid-19 akan menjejaskan kelancaran acara terbabit.

“Tarikh penganjuran bagi tahun depan akan ditentukan kemudian, bergantung kepada perkembangan pandemik tersebut.

“Langkah menangguhkannya ke 2021 juga membolehkan pempamer asing menyelaras strategi berikutan perubahan persekitaran yang berlaku,” katanya.

Sejak 16 tahun lepas, Mihas terbukti membina reputasi sebagai peneraju acara pameran halal di peringkat global menerusi kehadiran ramai penggiat industri dari serata dunia yang berhimpun bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan inovasi terbaharu.

Malah, acara itu juga menjadi tumpuan kalangan ahli akademik, pengamal serta pihak berkepentingan dalam sektor halal, kewangan Islam serta perniagaan berasaskan patuh Syariah.

-BERNAMA


Pengarang :