Mangsa banjir sedang membuat pembersihan di sekitar kawasan perumahan di Kampung Sri Jambu, Kajang pada 20 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

MPKK Sungai Chua, Kajang mohon sumbangan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 JULAI: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Chua mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membantu kira-kira 850 keluarga terjejas banjir di Kajang, kata pengerusinya.

Sia Wei Shien berkata pihaknya membuka penyertaan kepada masyarakat untuk menghulurkan bantuan seperti makanan kering, tilam, selimut, barangan dapur dan perabot.

“Sumbangan boleh disalur ke Balai Raya MPKK Sungai Chua. Selepas semua barang tersebut dikumpul, kita akan terus agih kepada mangsa terlibat.

“Jadi, saya menyeru kepada masyarakat untuk beri sokongan bagi meringankan beban mangsa kerana banjir kali ini antara yang paling teruk dalam tempoh 26 tahun malah menjejaskan banyak kawasan di daerah ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pejabat ahli parlimen Bangi dan ahli dewan negeri Balakong untuk mempertimbangkan bantuan lain untuk mangsa.

Sementara itu, katanya kerja pembersihan pascabanjir di kawasan terjejas kini mencapai 20 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.

Taman Indah, Sungai Chua, Jalan Mendaling, Kajang, Jalan Reko, Taman Sri Indah, Taman Sri Reko, Taman Pasir Emas, Desa Bunga Raya, Taman Kajang Baru dan Sri Kajang terjejas dalam kejadian banjir kilat petang kelmarin.

Turut dinaiki air Taman Seri Emas, Taman Sepakat Indah dan Taman Sri Kajang di Sungai Chua serta Simpang Balak.


Pengarang :