Selangorkini
SELANGOR

MPSJ nafi anggotanya bertengkar dengan peniaga tepi jalan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menafikan penglibatan anggotanya dalam video tular pertengkaran dengan seorang penjual jagung yang berniaga di tepi jalan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata insiden itu tidak berlaku di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“MPSJ ingin merujuk kepada video yang tular di medium media sosial Facebook bertajuk ‘gangster MPSJ kerajaan Selangor nak buat apa ni…’ yang memaparkan anggota PBT Selangor sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan di lapangan.

“Insiden tersebut tidak berlaku di bawah kawasan pentadbiran MPSJ serta tidak melibatkan mana-mana kakitangan di organisasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular rakaman menunjukkan seorang penguat kuasa majlis perbandaran itu bertengkar dengan seorang lelaki di tepi jalan sambil disaksikan beberapa anggota lain.

Azfarizal menyeru pemilik akaun media sosial dan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih dan berkata individu terbabit boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

“MPSJ turut mengingatkan kepada orang awam supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengemukakan sebarang bantahan serta tidak menghalang tugasan dilaksanakan oleh penjawat awam di lapangan,” tegasnya.

 


Pengarang :