Orang awam memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjauan SelangorKini pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Naik LRT, bas Rapid RM5 sehari tanpa had bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Pengguna semua perkhidmatan rel dan BRT Rapid KL dapat menikmati diskaun tambahan pas MyCity yang boleh didapati dengan harga RM5 sehari dan RM15 untuk tiga hari, bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Muhammad Nizam Alias berkata pas tersebut boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

“Rangkaian rel dan BRT Rapid KL bersepadu kami yang strategik akan memberi anda peluang menikmati perjalanan tanpa had secara meluas di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Kami berharap agar inisiatif ini dapat menyemarakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan, khususnya di Lembah Klang dan Selangor selain membantu menjana semula sektor pelancongan domestik yang terkesan daripada wabak Covid-19 sejak Mac lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas MyCity daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau BRT, media sosial atau layari www.myrapid.com.my.

-BERNAMA


Pengarang :