Selangorkini
Mohd Sany Hamzan
ADN SELANGOR

Naik taraf anak Sungai Udang tunggu proses pengambilan tanah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Projek naik taraf sistem saliran anak Sungai Udang fasa kedua diteruskan selepas proses pengambilan tanah selesai, kata ahli dewan negeri Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata usaha itu sedang dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang mengatasi isu banjir kilat di Selayang Baru.

“Saya dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen mengadakan mesyuarat bersama pihak berkaitan supaya dapat menyegerakannya.

“Jika diikutkan, memang sudah bermula (proses pengambilan tanah) untuk sambung projek fasa kedua, cuma ia mengambil masa dan perlu mengikut prosedur termasuk perbincangan dengan pemilik,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sany berkata pihaknya juga merancang membina sebuah kolam tadahan bagi menampung air banjir, namun pembangunan pesat di kawasan berkenaan menyebabkan kesukaran mencari lokasi sesuai.

“Kita sedang dapatkan bantuan daripada MPS, PTD dan JPS untuk cari tanah lapang dan dijadikan sebagai kolam takungan yang juga merupakan perancangan jangka panjang bagi menangani banjir kilat.

“Anak Sungai Udang tidak mampu tampung air jika berlaku hujan lebat, jadi dengan adanya kolam tadahan ini boleh alirkan (air) terus ke sungai yang besar,” katanya.


Pengarang :