Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat meninjau Operasi Mabuk Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sekitar Ampang pada 12 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Op Mabuk: Lima penunggang motosikal lawan arus elak sekatan

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Dipercayai kerana mahu mengelak sekatan jalan raya Op Mabuk, lima penunggang motosikal dikesan bertindak melawan arus dalam kejadian di Jalan Pandan 1 menghala ke Ampang dekat sini awal pagi tadi.

Lima penunggang terbabit yang dipercayai dalam perjalanan dari Taman Shamelin Perkasa bertindak memecut motosikal masing-masing menongkah arus di Jalan Pandan 1 selepas mengesan kehadiran pihak berkuasa di dua sekatan jalan raya di Jalan Pandan Jaya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata kelima-lima penunggang motosikal itu akan dikesan polis.

“Dalam situasi ini, pihak polis tidak boleh mengejar mereka kerana mereka bertindak melawan harus dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Azman berkata pihaknya melakukan sekatan jalan raya Op Mabuk di seluruh negeri pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menurut Azman, pada Op Mabuk yang bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi tadi, pihaknya mengeluarkan 863 saman kerana pelbagai kesalahan jalan raya, selain menyita dua motosikal dan menahan tiga individu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk menerusi empat sekatan jalan raya di sekitar Ampang Jaya.

Katanya Op Mabuk yang dijalankan turut menyumbang kepada pengurangan kegiatan samseng jalanan di Selangor.

Sementara itu, enam lelaki tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di sekitar Petaling Jaya awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pemandu lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan berasingan dalam operasi bermula 10 malam hingga 2 pagi.

“Mereka ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, seramai 252 pengguna jalan raya dan 217 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 42 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

— BERNAMA


Pengarang :