Menanam sayur-sayuran organik adalah mudah dan tidak menelan belanja yang besar serta baik untuk kesihatan. Foto: Youtube
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diseru tanam sayur secara organik di rumah

GEORGE TOWN, 26 JULAI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru rakyat untuk menanam sayur secara organik di rumah, termasuk mereka yang tinggal di perumahan strata atau kawasan halaman yang terhad, ketika penularan pandemik Covid-19 kini.

Pegawai Pendidikan CAP N.V.Subbarow berkata, ini kerana rakyat negara ini dilihat kurang mendapatkan sayur-sayuran untuk pemakanan harian, sebaliknya membeli makanan tahan lama seperti makanan dalam tin, makanan kering dan makanan segera.

“Untuk mengatasi masalah ini, kami (CAP) mahu mendidik sesiapa yang berminat, terutamanya suri rumah untuk tanam sayur sendiri di rumah. Tinjauan CAP mendapati orang ramai tidak mahu tanam apa-apa.

“CAP juga mendapati ada beberapa jenis bahan kimia pada sayur-sayuran yang dijual di pasaran, sama ada keluaran Malaysia atau diimport dari luar negara,” katanya kepada pemberita pada program Pertanian Dalam Bandar anjuran CAP dekat sini semalam.

Subarrow berkata, menanam sayur-sayuran organik adalah mudah dan tidak menelan belanja yang besar. Selain itu CAP juga menyediakan khidmat nasihat, tunjuk ajar, kelas, malah menjual peralatan, benih dan pasu, bagi memudahkan pengguna memulakan aktiviti penanaman sayur di rumah sendiri.

Katanya, CAP mengadakan kelas percuma pada Sabtu setiap bulan kepada mereka yang berminat mempelajari kaedah pertanian organik.

“Banyak petani mempelajari kaedah pertanian organik, bagi mengelak penggunaan bahan kimia daripada CAP, namun ia akan memakan masa kerana bahan kimia yang telah digunakan pada tanah itu, telah membunuh kandungan mikroorganisma,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :