Seorang wanita memakai pelitup muka ketika tinjauan orang ramai yang menggunakan pelitup muka sebelum 1 Ogos di Jalan Bukit Bintang. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Pakai pelitup muka, lindungi warga emas ketika Aidiladha

SHAH ALAM, 28 JULAI: Rakyat diingatkan memakai pelitup muka jenis fabrik atau tiga lapis ketika sambutan Aidiladha bagi mengelak jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia mampu mengehadkan pencemaran dari memasuki hidung dan mulut malah turut disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Anak-anak yang pulang menyambut raya turut diminta mengamalkan tatacara operasi piawaian (SOP) bagi melindungi ibu bapa dari wabak pandemik itu.

“Sentiasa pastikan keadaan diri bersih. Amalkan basuh tangan dengan kerap dan elak mendekatkan muka dengan orang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut meminta warga emas melindungi diri sendiri dengan tidak pergi tempat sesak serta bersalaman dengan orang luar.

“Kita jumpa cucu, adik beradik tapi tak tahu siapa yang membawa virus. Jadi kena sentiasa amalkan SOP,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan perjalanan bagi rentas daerah dan negeri sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat ini.

Bagaimanapun orang ramai diingatkan patuh SOP bagi mengawal penularan Covid-19 sekaligus memutuskan rantaian wabak terbabit.


Pengarang :