AGENDANASIONAL

PAKATAN: Parlimen wajib bebas dari kawalan eksekutif

SHAH ALAM, 14 JULAI: Parlimen wajib bebas dari sebarang unsur kawalan eksekutif supaya boleh berperanan sebagai badan perundangan dan demokrasi negara secara berkesan juga adil.

Majlis setiausaha Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata pihaknya kesal terhadap proses pengguguran Tan Sri Ariff Yusof sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat semalam yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama bertindak demikian dalam sejarah negara-negara Komanwel.

“PAKATAN amat kesal dengan sikap kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan parlimen di bawah telunjuk eksekutif.

“Kami juga kecewa dengan perbahasan usul tersebut, di mana hanya empat pembahas dibenarkan dengan masa cuma 10 minit seorang,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Dr Hatta Ramli dan Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar hujah kedua-dua belah pihak tambahan selepas usul mengosongkan jawatan dan menamakan yang di-pertua baharu juga menampakkan sikap kerajaan yang sewajarnya lebih demokratik.

Mereka menyifatkan kejadian itu sebagai titik hitam buat demokrasi di Malaysia selain mengukuhkan iltizam PAKATAN untuk mengembalikan mandat rakyat.


Pengarang :