AGENDANASIONAL

Patuh SOP di PPS elak risiko jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan individu yang tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata agensi bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS perlu mengambil berat perkara berkenaan kerana penghuni yang ramai boleh membawa risiko penularan jangkitan dalam kalangan mangsa dan petugas.

“Amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa.

“Penghuni dan petugas juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat sepanjang masa di PPS,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, 18 PPS dibuka di tujuh daerah yang menempatkan seramai 1,267 mangsa banjir daripada 303 buah keluarga selepas banjir kilat berlaku di Johor, Pahang, Selangor dan Melaka.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan bahawa negara sedang mengalami cuaca lembap dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini.


Pengarang :