Mangsa banjir membersihkan semula kediaman mereka selepas air mulai surut di Jalan Reko Taman Hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT, agensi digerak bantu bersih kesan banjir, bantu mangsa

KAJANG, 19 JULAI: Kerja pembersihan pascabanjir di semua kawasan terjejas di Kajang dan Hulu Langat bermula tengah hari ini, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menggerakkan lori tangki air untuk mempercepatkan kerja pembersihan terutama di jalan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Anggota bomba dan penyelamat juga dipanggil untuk bersama-sama mencuci kawasan berkenaan,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Jalan Mandaling di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri Kajang itu berkata semua mangsa di pusat pemindahan sementara sudah kembali ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah.

“Cuma ada penduduk yang minta kita dapatkan bantuan makanan sementara kerana peralatan memasak rosak akibat kejadian tersebut.

Hee Loy Sian menunjukkan kesan paras air pada dinding di sebuah kediaman di Taman hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita cuba bantu dengan pihak sukarelawan bagi memenuhi keperluan ini malah pejabat saya tengah mendapatkan maklumat berkaitan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Taman Hijau, Jalan Reko Muhammad Nadzirun Nordin, 28, berkata beliau sekeluarga menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kejadian banjir kilat tersebut.

“Sebelum ini, kalau hujan turun air terus surut dan kerosakan barang juga tidak banyak, namun kali ini sangat luar biasa. Banyak barang elektrik rosak, malah air naik dengan cepat ,” katanya.

Dalam kejadian banjir kilat petang semalam kawasan Taman Indah, Sungai Chua, Jalan Mendaling, Kajang, Jalan Reko, Taman Sri Indah, Taman Sri Reko, Taman Pasir Emas, Desa Bunga Raya, Taman Kajang Baru dan Sri Kajang dinaiki air.

Turut terjejas ialah kawasan Taman Seri Emas, Taman Sepakat Indah dan Taman Sri Kajang di Sungai Chua serta Simpang Balak.


Pengarang :