Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar pada 18 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pelajar maut di sekolah negatif Covid-19, tunggu laporan kimia

KUALA KANGSAR, 18 JULAI: Ujian calitan terhadap ke atas pelajar tingkatan tiga yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Rabu lepas didapati negatif Covid-19, kata menteri kesihatan.

“Kita akan menunggu laporan kimia selanjutnya sebelum kita dapat mengumumkannya (punca sebenar kematian),” kata Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan dilapor pengsan sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Media melaporkan pihak sekolah mendapati suhu badannya tidak menunjukkan demam atau tidak normal semasa disaring di pintu masuk sekolah.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata tiada bukti bahawa pemakaian pelitup muka menjejaskan kesihatan individu termasuk dalam kalangan pelajar.

“Ini kerana di peringkat Kementerian Kesihatan sendiri, pakar bedah sering menggunakan pelitup muka selama beberapa jam untuk membuat pembedahan dan tiada bukti yang ia menjejaskan masalah pengudaraan oksigen dan karbon dioksida,” katanya.

Menurutnya, pemakaian pelitup muka perlu bersesuaian mengikut saiz yang berpadanan dengan kanak-kanak bagi memastikan keselesaan kepada mereka semasa mengenakannya dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :