Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 13 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pelan pulih ekonomi RM56 bilion bantu rakyat terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini membentang pelan pemulihan ekonomi bagi membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

Pelan itu, sinambungan dua fasa pakej Selangor Prihatin pada Mac lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Bertema Menyemarak Kebingkasan Rakyat, Memacu Kesejahteraan Negeri, keseluruhan nilai ekonomi pelan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260,144,464.54 dibelanjakan untuk manfaat kepada 3.5 juta rakyat Selangor.

Berikut inisiatif pemulihan jangka pendek dan panjang:

Jaminan bekalan makanan

– Inisiatif AgroData Selangor melengkapkan permintaan bahan makanan asas menerusi pembangunan di tanah berkeluasan 5,000 ekar yang berpotensi sebagai gedung simpanan dan pengeluaran makanan serta produk asas tani negeri.

– Program bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi peruntukan RM50 juta untuk projek pertanian makanan dan penternakan dengan mengoptimumkan penggunaan tanah seluas 300 ekar

– Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) berperanan memasarkan hasil pertanian dan produk secara meluas termasuk di luar bandar menerusi jualan dalam talian dengan sistem penghantaran berkesan

Kemampanan Ekonomi

– Insentif galakan pembinaan rumah mampu milik pascawabak Rumah Selangorku Harapan berjumlah RM7.5 bilion membenarkan pemaju meminda penjenisan rumah kepada hanya berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit.

– Inisiatif Rumah Idaman dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bernilai RM12 bilion untuk menggerakkan  semula kitaran ekonomi

– Skim Smart Sewa To Ownership (2Stay) dengan jangkaan harga jualan rumah tidak melebihi RM200,000 melalui dua fasa iaitu penyewaan maksimum lima tahun atau pemilikan ‘Rent to Own’ (Penyewaan kepada Pemilikan)

– Keseluruhan pelaburan Industri Bekalan Air Selangor bernilai RM35.41 bilion untuk tempoh 30 tahun dengan unjuran pembangunan 2020 adalah RM429 juta dan RM3.2 bilion pada 2021

– Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai terbitan RM10 bilion dengan tempoh matang antara satu hingga 20 tahun untuk membiayai projek infrastruktur air yang mesra alam

– Selangor e-Dapur diteruskan dengan menyasarkan 1,000 usahawan dengan nilai jualan RM12 juta dan ia diperluas ke sektor runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan melalui sokongan inisiatif digital

– Inisiatif Pelaburan WAAQAF berjumlah RM50 juta dilaburkan menerusi mekanisme patuh syariah sebelum diagihkan Perbadanan Wakaf Selangor kepada golongan sasaran

– Subsidi baucar pelancongan bagi premis perhotelan, taman tema dan homestay berlesen di kawasan pihak berkuasa tempatan negeri ini  berjumlah RM2 juta

– Insentif khas pemandu pelancong, pengusaha homestay dan hos komuniti secara sekali bayar bernilai RM1,000 dengan peruntukan RM600,000

Pembangunan keupayaan

– Inisiatif Selangor Kerjaya dengan peruntukan RM58 juta untuk memberi latihan kemahiran baharu kepada 10,000 individu dalam masa tiga tahun

– Peruntukan Inisiatif Rakan Digital Selangor RM3 juta bagi membantu rakyat celik ekonomi digital menerusi bimbingan universiti awam, swasta, badan bukan kerajaan dan Team Selangor

– Inisiatif Data Internet Selangor peruntuk RM18 juta untuk memberi manfaat kepada 40,000 penerima

– Penambahan peruntukan RM1 juta kepada program Roda Darul Ehsan (RIDE), menjadi keseluruhan RM2 juta sebagai subsidi lesen memandu percuma B2 untuk membantu hampir 3,000 anak muda


Pengarang :