Tinjauan SelangorKini di Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan pematuhan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pelanggan digalak bawa bekas makanan ke pasar – EXCO

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Negeri terus menggalakkan pelanggan membawa bekas makanan sendiri ketika membeli makanan di pasar awam termasuk pasar pagi dan pasar malam.

EXCO Alam Sekitar berkata ia bagi mengurangkan penggunaan beg plastik yang berisiko memberi kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Kita akan mempergiatkan program kempen kesedaran melalui poster supaya mereka (pelanggan) dapat mengurangkan penggunaan beg plastik di pasar-pasar berkaitan,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Selangor mengenakan caj 20 sen bagi setiap pembelian beg plastik di pasar raya berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu sejak Januari 2016.

Kutipan diuruskan PBT disalurkan ke Akaun Tabung Amanah Selangor dan Akaun Tabung Amanah PBT bagi program berkaitan alam sekitar.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata pihaknya belum bercadang memperluaskan program kutipan caj beg plastik di pasar awam, pasar pagi, pasar malam dan pasar basah kerana sukar mengesan jumlah plastik dibekalkan peniaga kepada pelanggan.

“Mereka (peniaga) tidak memiliki mesin juruwang dan sistem akaun yang boleh mengesan bilangan beg plastik dibekalkan kepada pelanggan,” katanya.


Pengarang :