Sebuah Bot Tim mengeledah KD LEKIU giat membuat rondaan bagi memastikan tiada aktiviti jenayah ketika Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka Utara. Foto BERNAMA
RENCANA

Pelayaran KD Lekiu Op Benteng penuh debaran

Oleh Muhammad Afiff Md Adnan

GEORGE TOWN, 6 JULAI: Banyak perkara berlegar-legar dalam minda saya sepanjang perjalanan enam jam, bermula dari Wisma Bernama menuju Pier Swettenham (juga dikenali sebagai Port Swettenham) di George Town, Pulau Pinang.

Tugasan yang diberikan kepada saya adalah untuk menyertai Op Benteng Kapal DiRaja (KD) Lekiu yang akan melakukan rondaan mengawal perairan Selat Melaka Utara pada 5 Jun. Misi ini bertujuan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan mencegah unsur jenayah rentas sempadan ketika satu dunia dilanda wabak Covid-19.

Sebelum bertolak ke George Town pada 4 Jun, saya sudah membayangkan bagaimana agaknya keadaan kapal yang belayar di laut luas dan apakah kami akan menempuh laut bergelora. Hati yang sedikit cemas bagaimanapun lebih teruja memikirkan tidak semua orang dapat menaiki kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah tentunya serba hebat dan canggih!

Selain Bernama TV dan Bernama Wires (4 orang), dua orang dari TV3 dan 4 orang dari RTM) turut berpeluang menimba pengalaman berharga ini.

Kami menginap di pusat latihan bagi anggota-anggota Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) di KD Sri Pinang, Gelugor, Pulau Pinang. Sebelum bergerak ke pusat latihan itu, kami diberi arahan perlu bangun di awal pagi keesokannya untuk menaiki KD Lekiu yang berlabuh di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak.

Rondaan yang dilakukan KD Lekiu ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Op Benteng (bermula 12 Mei 2020) yang turut digembleng bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

Kehebatan KD Lekiu

Bagi memastikan saya tidak terlajak tidur, penggera telefon bimbit sudah siap diaktifkan untuk bangun pukul 6 pagi. Kami menaiki van untuk ke Pier Swettenham yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari KD Sri Pinang.

Sebaik tiba di lokasi, saya terpaku tatkala mata terpandang kapal frigat KD Lekiu. Saya pernah melihat gambar kapal ini dalam majalah berunsur ketenteraan “Perajurit” milik bapa saudara saya di kampung, kira-kira dua tahun lalu.

Anggota TLDM sedang membuat persiapan sebelum melaksanakan Op Benteng dengan khidmat KD Lekiu semasa melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka Utara pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA

Tidaklah saya menjangka kini saya betul-betul berdiri di hadapannya. “Hebat sungguh kapal ini, “ bisik hati saya. KD Lekiu difahamkan mempunyai ketinggian 3.6 meter, lebar 12.8 meter dan panjang, 106 meter.

Berikutan wabak Covid-19, TLDM turut mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) iaitu pengambilan suhu selain mengisi butiran nama sebelum kami dibenarkan menaiki kapal frigat itu.

Melangkah menaiki kapal, kelihatan anak-anak kapal sedang menaikkan panji-panji, simbolik penghormatan memulakan tugas selain mempersiapkan KD Lekiu bagi tujuan pelayaran ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang mengambil masa kira-kira enam jam.

Menjalankan tugas di atas sebuah kapal dikelilingi lautan luas terbentang untuk satu-satu tempoh yang panjang bukannya perkara mudah berbanding melaksanakan rutin berkenaan di daratan.

Adakalanya laut bergelora tidak mengira detik. Sudah tentunya keadaan serta suasana sebegini memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi yang kental.

Kami yang hanya berada beberapa jam pun sudah boleh merasakan debarannya, malah ada rakan media yang berasa mual walaupun air laut tenang.

Semuanya ini sudah sebati dalam diri 169 orang kru KD Lekiu yang diketuai Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu sendiri, Kapten Shaiful Nizam Abdul Manan.

Penulis difahamkan, KD Lekiu dilengkapi dengan sistem persenjataan tiga dimensi iaitu anti-udara, permukaan dan bawah air dan mampu mencapai kelajuan 28 knot.

Kapal frigat ini dibina di Glasgow, Scotland dan memasuki inventori TLDM pada Disember 1994.

Pegawai pemerintah sertai pelayaran KD Lekiu

Satu pengalaman yang pasti terpahat di memori apabila Kapten Shaiful Nizam turut serta dalam pelayaran ini.

Terasa aura pertemuan dengan orang kuat KD Lekiu ini. Beliau bertanggungjawab memberi arahan di mana kapal ini akan belayar, di mana pemintasan bot-bot PATI akan dibuat termasuk mengarahkan pergerakan helikopter tempur Super Lynx MK100.

Program pada pagi itu didahului dengan taklimat untuk pengamal media di Wisma Pegawai mengenai peranan KD Lekiu dalam Op Benteng sebelum kami dibenarkan masuk ke Pusat Informasi Tempur atau Combat Information Center (CIC) KD Lekiu.

Tepat pukul 10 pagi, 5 Jun, KD Lekiu mula belayar (dari Swettenham Pier, Georgetown, Pulau Pinang) ketika pengamal media di bawa ke dalam CIC. Pusat ini difahamkan berfungsi sebagai pusat taktikal di mana informasi serta proses “arahan dan kawalan” dilaksana semasa operasi atau peperangan.

Keadaan dalam CIC sedikit gelap dengan dipenuhi pelbagai mesin serta komputer yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai keadaan laut, bot di sekitar KD Lekiu yang sedang belayar dan pelbagai lagi.

Super Lynx MK100

Dalam pelayaran ini, pengamal media turut diberi peluang menaiki sebuah daripada enam buah helikopter tempur Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 TLDM. Helikopter ini digunakan sebagai ‘mata-mata’ dalam meninjau atau memintas kehadiran bot-bot PATI di luar radius 70 nautika kawasan capaian KD Lekiu.

Penulis bagaimanapun tidak berpeluang menaiki helikopter itu yang dikendalikan oleh Komander Hairol Isma Ibrahim bagi memberi ruang kepada jurufoto Bernama, Muhammad Azlim Mansor merakam gambar gerak kerja Super Lynx untuk tatapan orang awam.

Para anggota TLDM giat memantau keadaan semasa melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Selat Melaka Utara pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA

Sesuai dengan tugas itu, helikopter tempur Super Lynx kerap diatur gerak ke sekitar perairan Selat Melaka Utara. Ia juga menjadi kebanggaan TLDM selepas pernah cemerlang merekodkan penerbangan 10,000 jam sifar kemalangan biarpun terlibat dengan pelbagai tugas, operasi dan misi sebelum ini.

CB90 membelok 110 darjah

Selain Super Lynx, KD Lekiu turut mempunyai aset lain digunakan bagi tujuan pemintasan bot PATI dikenali sebagai bot tempur CB90.

Kali ini, penulis tidak mahu melepaskan peluang menaiki antara aset kerahan KD Lekiu yang mampu bergerak pada kelajuan 45 knot di atas laut. Di samping empat anggota bot tempur ini, saya disertai dua orang kru RTM dan dua orang kru Bernama TV.

Bayangkan, bot CB90 ini boleh dihentikan secara mengejut walaupun ketika sedang bergerak laju serta membuat membuat lencongan kira-kira 110 darjah yang pastinya memberi perasaan seakan mahu terhumban ke laut ketika berada di dalamnya!

Lencongan berkenaan bukanlah dibuat suka-suka kerana penulis difahamkan itulah keistimewaan yang boleh dilakukan CB90 dalam merapati serta memintas mana-mana bot disyaki dinaiki PATI.

Di tugasan lain, CB90 juga dikerah untuk mengiringi mana-mana kapal milik TLDM dalam situasi tertentu.

CB90 ini bukan seperi bot lain kerana ia difahamkan menggunakan sistem water jet yang mampu bergerak dengan pantas dan senyap. Ini menjadikan CB90 antara aset terpenting TLDM terutama dalam menjalankan pelbagai tugasan termasuk terlibat dalam Op Benteng ini.

Op benteng

Kolaborasi TLDM dan pelbagai agensi penguatkuasa memberi impak positif dalam membendung pencerobohan PATI dan mengekang jenayah rentas sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Bagi penulis, penugasan mereka berjaya memberi tekanan kepada kumpulan PATI demi melindungi keselamatan perairan dan kedaulatan negara ini.

Op Benteng diaktifkan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan ATM diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan persempadan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Operasi yang meliputi seluruh sempadan daratan dan perairan Malaysia ini adalah untuk mengawal ketat sempadan negara sebagai usaha kerajaan untuk mengekang jenayah rentas sempadan. Ia juga untuk menyekat penularan wabak pendamik Covid-19 yang berkemungkinan dibawa masuk oleh PATI.

– BERNAMA


Pengarang :