Keadaan jalan raya yang mendap di Jalan Klang-Banting berhampiran lampu isyarat Kampung Johan Setia yang dipercayai akibat kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemaju LRT3 bentang laporan tanah mendap Khamis ini

KLANG, 21 JULAI: Pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) perlu membentang laporan forensik kejadian tanah mendap di Jalan Klang-Banting berdekatan tapak stesen Johan Setia, Khamis ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata siasatan menyeluruh insiden itu perlu dibuat sebelum dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor.

“Kerajaan Negeri kesal dengan kejadian kedua dalam tempoh kira-kira sebulan membabitkan tapak pembinaan LRT3 di Klang. Sepatutnya penelitian teknikal dibuat sebelum bermula sesuatu projek,” kata Ng Sze Han selepas meninjau lokasi tersebut hari ini.

Beliau turut meminta pemaju menghubungi pengendali Waze dan Google Maps bagi mengemas kini laluan berhampiran lokasi untuk mengelak kesesakan jalan raya.

“Kita harap masalah air dan jalan yang menguhubungkan Klang dan Banting dipulihkan segera selain kawasan berhampiran perlu diperiksa untuk keselamatan semua,” katanya lagi.

Insiden tanah mendap berlaku kira-kira jam 3 petang semalam ketika pekerja projek menanam cerucuk di kawasan tidak rata hingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Jun lalu, kerangka besi projek LRT3 di Jalan Meru tumbang semasa pekerja sedang menuang konkrit.


Pengarang :