Muhammad Nadzirun Nordin, 28 membersihkan semula kediaman selepas air mulai surut di Jalan Reko Taman Hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pembersihan pascabanjir diteruskan, babit ramai NGO – MB

AMPANG, 19 JULAI: Pembersihan di kawasan banjir di beberapa daerah negeri ini diteruskan esok dengan penglibatan lebih ramai wakil kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) giat membantu menurunkan jentera dan kenderaan sedia ada untuk membersihkan lokasi berkaitan yang kebanyakannya dipenuhi lumpur.

“Petugas terbabit bukan sahaja mencuci premis di kawasan majlis tetapi bekerjasama membersihkan sekolah selain beberapa lokaliti yang memerlukan.

Mangsa banjir membersihkan semula kediaman mereka selepas air mulai surut di Jalan Reko Taman Hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Esok juga beberapa NGO dan wakil kerajaan turun padang untuk bergotong-royong bagi mempercepatkan proses pembersihan serta pemulihan kerana banjir kilat kali ini sangat luar biasa berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata semua pusat pemindahan banjir di Hulu Langat sudah ditutup petang tadi manakala di Sepang masih dibuka susulan terdapat keluarga yang masih ditempatkan di situ.

“Kita terus mengambil langkah yang padu dengan Pejabat Daerah dan PBT bagi memastikan semua mangsa banjir selamat,” katanya.

Sebanyak 41 kawasan di lima daerah mengalami banjir kilat sejak petang semalam.

Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi dengan 22, diikuti Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.


Pengarang :