Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim bercakap ketika sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 14 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pencarian Ikon Agro Selangor mula dibuka esok

SHAH ALAM, 14 Julai: Permohonan pencarian 10 Ikon Agro Selangor dibuka bermula esok hingga 28 Julai ini, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata 20 peserta awal dipilih untuk menjalani proses penilaian selama sebulan sebelum kelompok 10 terbaik diumumkan pada 1 September.

“Syarat penyertaan adalah berasal dari Selangor, berumur 18 tahun ke atas, mempunyai syarikat berdaftar atas nama sendiri dan penyata kewangan lengkap selama tiga tahun.

“Pemilihan ikon dibahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan. Program ini bertujuan menyokong usaha menjadikan Selangor sebagai pusat bekalan makanan,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex
Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata setiap ikon akan menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000.

“Mereka bertindak selaku duta kecil serta pembimbing golongan muda yang ingin menceburi bidang pertanian sekali gus melahirkan lebih ramai petani moden.

“Ikon agro akan dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.


Pengarang :