Pelukis Muhammad Suhaimi Ali 27, ketika melukis mural gergasi potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan wajah-wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penconteng mural alami masalah psikologi – ahli akademik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Tindakan menconteng mural gergasi wajah pemimpin negara menunjukkan pelaku mengalami masalah psikologi.

Timbalan naib canselor pembangunan pelajar dan jaringan komuniti Universiti Selangor (Unisel) menjelaskan perkataan kesat itu seolah-olah mahu meluahkan perasaan atau menarik perhatian umum semata-mata.

“Kejadian tempoh hari adalah tidak bertanggungjawab, tambahan mural dihasilkan memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong terutamanya dan tokoh yang terlibat ketika kita berhadapan Covid-19.

“Tindakan ini tidak mengejutkan kerana aspek laku musnah bergantung kepada beberapa elemen seperti tidak suka melihat dan merosakkan objek milik orang lain, berasa cemburu atau dendam,” kata Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh kepada SelangorKini.

Beliau berkata tindakan itu bukan perkara baharu tetapi ia perlu dicegah kerana boleh mendatangkan keburukan kepada masyarakat.

Mural di sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 memaparkan potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk beberapa pemimpin Malaysia, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah pada 20 Julai lalu.

Polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.


Pengarang :