AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penerbit SelangorKini, TV Selangor kini dikenali Media Selangor

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penerbit SelangorKini dan TV Selangor sekarang dikenali Media Selangor Sdn Bhd setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bulan ini.

Nama negeri pada syarikat pula mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Jun lepas sebelum dikemukakan kepada SSM.

Sebelumnya dikenali Communication Corporation Sdn Bhd, anak syarikat penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor itu ditubuhkan lebih 11 tahun lalu sebagai media rasmi Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

“Bersama perubahan nama syarikat ini, Media Selangor turut memperkenalkan logo baharu bagi menyeragamkan identiti syarikat. Usaha ini juga merupakan sebahagian penjenamaan semula syarikat untuk memberi nafas baharu kepada warga Media Selangor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Selain perubahan nama syarikat, tambahnya, terbitan-terbitan Media Selangor akan menggunakan logo baharu masing-masing tidak lama lagi sebagai usaha mengukuhkan identiti syarikat.

Langkah ini sebahagian usaha syarikat memantapkan operasi penerbitan dan meningkatkan profesionalisme kerja lebih 80 kakitangannya.

SelangorKini boleh dibaca setiap hari di pautan selangorkini.my , TV Selangor (selangorTV.my), Selangor Journal (selangorjournal.my) serta edisi Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) dan Tamil (selangorkini.my/ta/).


Pengarang :