Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 16 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengalaman lalu bantu Malaysia hadapi Covid-19 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pengalaman lepas ketika mengendalikan wabak akibat virus seperti Nipah, SARS dan MERS-CoV membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melakukan persediaan dan menggubal protokol respons bagi menangani pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ketika mendapat maklumat mengenai penularan wabak di Wuhan, China, KKM sedar virus itu akan tiba di negara ini.

“Kami mula mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) yang menyelaras dan menggembleng respons kesiapsiagaan kita, sementara pengalaman lalu dalam mengurus dan menangani virus Nipah, SARS, MERS-CoV, H1N1 membantu dari segi penggubalan protokol,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘Covid-19: What can Malaysia and Kerala, India teach the rest of the world’, anjuran Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Yang Diabaikan (DNDi) dan Gabungan Penyelidikan Klinikal Covid-19, menerusi penstriman langsung melalui Facebook DNDi semalam.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Menteri Kesihatan, Keadilan Sosial serta Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak negeri Kerala K K Shailaja yang turut dikenali sebagai ‘Shailaja Teacher’.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Malaysia juga mengguna pakai garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam memerangi wabak Covid-19.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama antara kerajaan, pelbagai sektor serta masyarakat turut memainkan peranan penting dalam menurunkan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Shailaja mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menurunkan jumlah kes harian serta menjadi contoh kepada dunia dalam mendepani pandemik tersebut.

“Tindak balas Malaysia dalam mendepani Covid-19 menjadi teladan kepada dunia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :