Pemain beregu negara Tan Wee Kiong (kanan) dan pemain perseorangan negara Liew Daren (tengah) hadir untuk melapor diri dan menjalani sesi ujian saringan di Akademi Badminton Malaysia pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengalaman pemain profesional ditagih – Choong Hann

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menuntut agar kehadiran pemain profesional akan dapat memberi manfaat kepada pemain muda, terutamanya dari segi latihan berkualiti.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, gandingan itu juga adalah usaha untuk membina semangat berpasukan yang kukuh dan lebih bersedia, bagi menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber, pada Oktober depan.

“Kesemua pemain profesional melapor diri dan menjalani ujian calitan Covid-19 hari ini. Mereka perlu mengasingkan diri di rumah, sehingga keputusan diperoleh dalam tempoh 24 jam sebelum memulakan latihan bersama.

“Kami harap dengan kehadiran mereka, semua pihak akan mendapat manfaat daripada latihan ‘sparring’ yang berkualiti dan juga boleh belajar sesama sendiri, bersama pemain junior. Saya harap mereka (pemain muda), boleh belajar teknik dan corak permainan yang bagus, daripada pemain berpengalaman.

“Pada masa sama, kita mahu pemain muda supaya bekerja keras untuk dekati tahap pemain berpengalaman, dengan adanya contoh dan teladan daripada mereka,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebelum ini, Piala Thomas dan Piala Uber dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark, pada 16 hingga 24 Mei sebelum dipinda ke 15 hingga 23 Ogos, dan ditunda buat kali kedua dari 3 hingga 11 Oktober depan.

Sebagai persiapan ke kejohanan itu, BAM mengambil keputusan memanggil pemain profesional, termasuk Liew Daren, Soong Joo Ven, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, untuk menjalani latihan secara bersama di ABM.

Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut melapor diri di ABM hari ini, bagi menjalani latihan dua kali seminggu di bawah program Road To Tokyo (RTT).

Latihan di ABM akan dibahagikan kepada dua bahagian, dengan mereka yang berada di bawah program Piala Thomas dan Piala Uber akan berlatih setiap hari, manakala untuk RTT melibatkan gandingan Peng Soon-Liu Ying akan berlatih dua kali seminggu.

– BERNAMA


Pengarang :