Gimnasium dibuka semula kepada orang ramai selepas dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengurusan gimnasium, kolam renang perlu patuh SOP MKN

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Pihak pengurusan gimnasium dan kolam renang di bawah skim pembangunan berstrata, boleh membenarkan penghuni untuk menggunakan kemudahan berkenaan, dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perumanahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan hari ini berkata, antara SOP ditetapkan adalah pihak pengurusan membuat pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kehadiran penghuni yang menggunakan kemudahan berkenaan, melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Pihak pengurusan juga perlu pastikan pemakaian pelitup muka oleh kakitangan bertugas pada setiap masa dan operasi gimnasium atau kolam renang, adalah secara berjadual dengan bilangan orang yang terkawal,” katanya.

Selain itu Zuraida berkata, setiap peralatan yang digunakan perlu dibersihkan dan dinyahkuman selepas penggunaan, dan mematuhi jarakan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Kerajaan membenarkan gimnasium dan kolam renang untuk beroperasi semula, masing-masing bermula 15 Jun dan 1 Julai lepas, dengan mengikut SOP ditetapkan MKN.

– BERNAMA


Pengarang :