AGENDABERITA UTAMANASIONALPELANCONGANPILIHAN MINGGUAN

Pengusaha inap desa, pemandu pelancong terima insentif RM1,000

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pekerja sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima insentif khas RM1,000.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan sekali bayar berjumlah RM600,000 meliputi pemandu pelancong, pengusaha inap desa dan hos komuniti.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen dalam kawasan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM 2 juta,” katanya ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Sektor pelancongan ditutup sepenuhnya pada 18 Mac lalu susulan pelaksanaan PKP bagi mencegah penularan Covid-19 selain kerajaan menutup pintu sempadan negara.

Bagaimanapun, pada 4 Mei lalu, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa.

Aktiviti pelancongan domestik dan rentas negeri bermula 10 Jun lalu pula membuka peluang kepada industri hotel kembali beroperasi dengan mematuhi kebiasaan baharu.


Pengarang :