Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pengusaha pelancongan gembira terima insentif, lancar operasi niaga

SHAH ALAM, 16 JULAI: Bantuan RM1,000 Kerajaan Selangor kepada sektor pelancongan membolehkan pengusaha menyediakan barang keperluan bagi melancarkan operasi perniagaan.

Penyelaras Inap Desa Sungai Haji Dorani berkata wang itu akan dimanfaatkan dengan membeli cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk kegunaan kakitangan serta pelanggan.

“Bantuan ini membuktikan Kerajaan Selangor prihatin masalah dan beban rakyat. Wang ini juga membantu persediaan untuk memulakan beberapa program santai bagi menarik pelanggan,” kata Abdul Rahman Daud kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pengurus Apple Hotel Shah Alam, Mimi Syaqirah Rosli berkata pemberian subsidi baucar pelancongan kepada hotel dapat menggalakkan lagi kehadiran pengunjung.

“Ini akan menggiatkan kitaran ekonomi sekali gus membantu meringankan beban pihak pengurusan dalam menjaga kebajikan pekerja dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentang pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga mengumumkan insentif khas RM1,000 kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Seri Amirudin Shari turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri menyalurkan subsidi baucar pelancongan bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen dalam kawasan pihak berkuasa tempatan berjumlah RM 2 juta.


Pengarang :