Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama ketua jabatan dan penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Auditorium Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 28 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penjawat awam wajib pakai pelitup muka sejak PKPB Diubahsuai

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri menguatkuasakan pemakaian pelitup muka kepada semua penjawat awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Diubahsuai pada 4 Mei lalu.

Timbalan setiausaha kerajaan (pengurusan) berkata pekeliling itu dikeluarkan menerusi ketua jabatan dan mereka dibenarkan untuk membuka seketika jika ingin berucap ketika mesyuarat.

“Kita sebenarnya telah mengeluarkan arahan kepada semua menerusi ketua-ketua jabatan bagi memastikan penjawat awam memakai pelitup muka.

“Kita sentiasa pakai sejak keluar dari rumah hingga ke pejabat kecuali dalam mesyuarat yang kita buat penjarakan sosial kerana kadang-kadang kita tidak boleh dengar apa disampaikan jika bercakap sambil memakainya,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Beliau berkata orang awam yang ingin berurusan di semua jabatan Kerajaan Negeri juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka bagi mengelak penularan Covid-19.

Zamani Ahmad menjelaskan Selangor bersedia mengikuti semua saranan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan Persekutuan selagi ia baik untuk memutuskan rantaian wabak termasuk arahan mewajibkan pemakaian bahan berkaitan di tempat awam bermula 1 Ogos hadapan.


Pengarang :