Selangorkini
Orang awam keluar dari Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves selepas menunaikan solat Jumaat pada 26 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGAMA AGENDA NASIONAL

Pentadbiran agama negeri boleh putuskan Solat Jumaat dua sesi

KUALA TERENGGANU, 19 JULAI: Keperluan untuk menunaikan solat Jumaat dua sesi di negeri-negeri disebabkan kesesakan jemaah dan ruang terhad di masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertakluk kepada pentadbiran agama di setiap negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bagaimanapun katanya di peringkat Wilayah Persekutuan, solat Jumaat cuma diadakan satu sesi seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Justeru sekarang ini kami telah mengambil ketetapan bagi pihak contohnya Wilayah Persekutuan, kita tidak akan buat dua sesi, kita hanya buat satu sesi sahaja. Negeri lain tertakluk kepada pentadbiran agama negeri.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka (negeri-negeri) buat satu sesi sahaja. Ini (solat Jumaat satu sesi) yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terpulang kepada negeri masing-masing,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Pasca Musa’adah Covid-19 Bersama Nelayan Terengganu, di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering, di sini hari ini.

Katanya Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu turut membenarkan solat Jumaat diadakan di kawasan tepi masjid termasuk pemasangan khemah di pekarangan masjid, mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA


Pengarang :