Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan lembu korban untuk diedarkan kepada 425 masjid seluruh negeri di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penuhi permintaan sempena Aidiladha, lembu dijaga rapi tiga bulan

RAWANG, 20 JULAI: Lebih 400 ekor lembu dijaga di Ladang HMA Kasturi dalam tempoh tiga bulan sebelum dihantar kepada pembeli menjelang sambutan Aidiladha.

Pengusahanya berkata dalam tempoh berkenaan semua lembu akan diberi makan hampas kelapa sawit yang diproses bagi meningkatkan berat haiwan.

“Kita juga bawa masuk lembu dengan jumlah minimum untuk permintaan luar sepanjang tempoh itu. Pembeli yang datang boleh melihat sendiri dan buat tempahan terus mengikut bajet mereka.

“Kita lebih tumpu jualan untuk Aidiladha kerana permintaan tinggi di samping menempatkan sementara lembu-lembu luar jika pengusaha mahu membersihkan ladang mereka,” kata Dr Mohd Padzil Daros kepada Selangorkini.

Pengusaha Ladang HMA Kasturi, Dr Mohd Padzil Daros. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata bekalan lembu biasanya diperoleh dari luar dan dalam negara manakala urusan penghantaran ke masjid diselesaikan dalam tempoh tiga hari sebelum Aidiladha.

Katanya, berat seekor lembu mampu menjangkau sehingga 300 kilogram jika mendapat makanan berkhasiat secukupnya dan akan ditimbang secara berperingkat sebelum dikelaskan mengikut kriteria.

Berkongsi kisah mengenai keadaan perniagaan yang diusahakan sejak 2015 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Dr Mohd Padzil berkata kesukaran dihadapi bagi mendapatkan bahan mentah untuk memproses makanan lembu dan ia kembali seperti biasa selepas kelonggaran pergerakan diberikan.

Selain itu, Ladang HMA Kasturi turut memiliki kawasan penyembelihan sendiri dan proses melapah lembu boleh dilakukan terus sebelum daging dibungkus serta diagihkan.


Pengarang :