AGENDANASIONAL

Penyertaan majikan dalam program activ@work meningkat – Perkeso

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Program cabaran kecergasan activ@work yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2017 untuk membantu pekerja syarikat di negara ini lebih cergas dan sihat menerima sambutan menggalakkan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Katanya program yang dilaksanakan dengan kerjasama Bookdoc, platform jagaan kesihatan dalam talian, menyaksikan peningkatan penyertaan majikan dari 132 pada tahun pertama program kepada 237 majikan pada 2019, melibatkan sektor swasta dan awam.

“Kita mengalu-alukan penyertaan mereka (sektor kerajaan) dan berharap lebih banyak majikan daripada sektor kerajaan akan menyertai cabaran seterusnya,” kata Mohammed Azman ketika berucap pada Seminar Tempat Kerja 2020 – Majlis Anugerah Cabaran Activ@Work 2019 yang dilancarkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan di sini.

Cabaran Activ@Work 2019 menamatkan tahun ketiga semalam.

Turut hadir, Pengasas Bookdoc Datuk Chevy Beh.

Dalam pada itu, Beh ketika ditemui Bernama berkata cabaran activ@work itu diperkenalkan ketika penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu penyakit kencing manis, sakit jantung dan komplikasi berkaitan pernafasan di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan.

“Pendekatan program itu ialah kita akan memeriksa tahap aktiviti di syarikat-syarikat berdasarkan kempen 10,000 langkah yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan jumlah langkah paling banyak yang direkodkan peserta ialah 30,000 langkah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :