Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan Skim Air Darul Ehsan masih dibuka

SHAH ALAM, 15 Julai: Permohonan skim air percuma menerusi Skim Air Darul Ehsan masih dibuka kepada rakyat Selangor, kata EXCO infrastruktur.

Katanya kelonggaran itu diberi berikutan jumlah pendaftaran yang diterima masih rendah dan ada penduduk yang tidak tahu mengenai program bantuan itu.

“Mengikut jadual asal, permohonan air percuma ditutup pada Mac lalu, namun kita memberi kelonggaran dan sehingga kini ia masih tetap dibuka serta tiada had permohonan ditetapkan.

Borang permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan boleh diperolehi di beberapa saluran. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Oleh itu, promosi pendaftaran bantuan itu sedang digiatkan menerusi ketua kampung dan pihak berkuasa tempatan. Malah kita memudahkan proses pendaftaran dengan pemohon hanya perlu membawa bil lama ke pejabat pusat khidmat wakil rakyat,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 226,969 permohonan diterima.

Borang permohonan boleh dimuat naik menerusi laman web www.airselangor.com , pengunjung portal juga boleh membuat pendaftaran secara dalam talian.

Syarat-syarat permohonan :
1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor.
2. Pendapatan bulanan isi rumah RM4,000 ke bawah (suami dan isteri termasuk pendapatan pasangan bukan warganegara, tiada pasangan atau bujang).
3. Premis kediaman adalah meter individu.
4. Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun/premis sahaja.

Pengguna akaun meter pukal dalam kategori pangsapuri kos rendah akan terus menerima 20 meter padu air percuma dibawah Skim Air Darul Ehsan secara automatik sehingga 31 Disember 2021 mengikut kaedah sedia ada yang melibatkan JMB/MC serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor(LPHS).


Pengarang :