Aksi penjaga gol Arishah Qarinah Mohammed Nijam, 16 tangkas mengawal gawang ketika menjalani sesi latihan bersama skuad hoki Selangor di Stadium Hoki Petaling Jaya pada 2 Jun 2020. Foto ASRI/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Piala Tun Razak pemanas badan sebelum Sukma Johor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Pasukan hoki wanita Selangor menyertai kejohanan Piala Tun Razak September ini bagi mendapatkan semula rentak permainan sebelum saingan Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan.

Jurulatihnya Ikmal Abdul Jabar berkata mentaliti untuk memenangi pingat emas sekali lagi diterapkan kepada pemain sebagai dorongan mempertahankan kejuaraan Sukma 2018 di Perak.

“Mungkin Ogos depan kita panggil beberapa pemain senior untuk berlatih bersama pasukan sebagai persediaan menyertai kejohanan Piala Tun Razak. Tarikh kita belum tahu lagi tetapi dari situ lebih banyak perlawanan persahabatan boleh disertai.

“Sejak pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persatuan mengubah perancangan untuk menyertai kejohanan ini dan siri pertandingan dianjurkan negeri lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Ikmal berkata sesi latihan sejak bulan lalu juga berjalan lancar dan pemain bersungguh mengembalikan kecergasan yang sedikit merosot ketika PKP.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadual semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.


Pengarang :