Datuk Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pinda Akta Finas sesuai kehendak semasa – Saifuddin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kabinet memutuskan untuk meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas) [Akta 244] supaya bersesuaian dengan kehendak semasa, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Dato’ Saifuddin Abdullah berkata proses meminda akta tersebut dimulakan dalam masa terdekat.

“Seperti dimaklumkan pada 20 Jun 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan malam tadi, Saifuddin berkata teknologi yang digunakan ketika Akta Finas 1981 diluluskan di parlimen berbeza jika dibandingkan dengan masa kini.

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. KKMM ambil maklum bahawa akta ini perlu penambahbaikan.

“Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya,” katanya.

Saifuddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berniat menggunakan akta berkenaan untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika akta berkenaan digubal.

“Oleh yang demikian, kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja akta dibahaskan pagi tadi (semalam) malah semua undang-undang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa,” katanya.


Pengarang :