Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kanan) menunjukkan gambar tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya ketika melawat tapak tersebut di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia pada 15 Julai 2020. Turut hadir Hee Loy Sian (kanan). Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Pindah sisa toksik di Johan Setia kos RM2 juta

KAJANG, 18 JULAI: Proses pemindahan lebih 1,000 tong dram disyaki mengandungi sisa toksik di Johan Setia, Klang ke pusat pelupusan di Negeri Sembilan membabitkan kos hampir RM2 juta.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata usaha itu diuruskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor selain kerja pembersihan tapak giat dijalankan.

“Sebelum ini kita belanja hampir setengah juta untuk 400 tong dan dianggarkan jumlah kali ini lebih besar antara RM1 juta ke RM2 juta.

“Walaupun kos tinggi ia tetap perlu dipindahkan kerana memberi risiko letupan, kebakaran dan mencemarkan kualiti alam sekitar,” katanya selepas menyerahkan bantuan makanan kepada ahli Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Hulu Langat di sini hari ini.

Loy Sian berkata siasatan menyeluruh terhadap pemilik tanah masih berjalan dan kes berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah.

“Kerajaan Selangor ingatkan pemilik tanah jangan beri mana-mana kilang gunakan tapak mereka simpan bahan buangan. Ini adalah kesalahan serius yang boleh dipenjara dan didenda,” katanya.

Rabu lalu, JAS Selangor menemui tong disyaki mengandungi bahan enap cemar minyak, enap cemar getah, buangan pigmen dan campuran kimia berbahaya selepas sebulan melakukan intipan dan risikan termasuk pantauan dron.


Pengarang :