AGENSISELANGOR

PKP buka ruang peniaga cuba bidang baharu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan premis perniagaan dilarang beroperasi, menyebabkan peniaga perlu mencari alternatif lain demi menampung kehidupan.

Peniaga restoran dari Petaling Jaya, Harliana Mohd Tahir berkata berdepan kerugian dan harus menyesuaikan diri dengan norma baharu tidak melemahkan semangatnya mencuba bidang perniagaan lain.

“Saya mula mencari pendapatan sampingan dengan membuat kerepek dan pelbagai jenis biskut serta menjualnya menerusi dalam talian.

“Ini sesuatu yang baharu kerana perlu memasarkan secara dalam talian. Bagaimanapun, kita harus akur kerana PKP untuk memutuskan rantaian Covid-19, perniagaan perlu diteruskan walaupun perolehan tidak seperti sebelumnya,” kata pemilik Restoran Hliana Kitchen kepada SelangorKini.

 

Meskipun agak kekok pada peringkat awal tetapi Harliana, 41, tidak mahu menjadikan PKP sebagai alasan tidak meneruskan perniagaan kerana sambutan terhadap tempahan biskut dan kerepak amat memberangsangkan.

Mengulas kelonggaran diberikan kerajaan apabila membenarkan premis dibuka dalam tempoh PKP Pemulihan, beliau berkata antara cabaran adalah kehadiran pengunjung yang tidak ramai sekali gus menyukarkan bagi membayar sewa kedai dan gaji pekerja.

“Ini antara cabaran yang terpaksa saya hadapi tetapi pada masa sama dapat mencipta perniagaan baharu (jualan kerepek dan biskut),” katanya.

Berniaga lebih lima tahun lalu, kini Harliana banyak memberi fokus kepada jualan pelbagai jenis kuih seperti kuih tart nenas, samperit susu, biskut jambu dan kerepek pisang.


Pengarang :