Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal. Foto BERNAMA
SELANGOR

PKPP: 310 individu berhibur di pusat hiburan dikompaun

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Polis mengeluarkan 310 kompaun dalam Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi bermula 11 malam hingga 5 pagi tadi, dan hasil pemeriksaan di sebuah premis di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara mendapati seramai 200 lelaki dan 110 wanita berumur lingkungan 20 hingga 30 sedang berkumpul di dalamnya.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020.

“Kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan tersebut dan ini adalah bilangan kompaun yang tertinggi pernah dikeluarkan pada satu malam,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata 10 lelaki warga asing berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun juga ditahan kerana disyaki bekerja di pusat hiburan tersebut tanpa permit yang sah dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

Nik Ezanee berkata polis turut merampas pelbagai barangan elektronik dan wang tunai bernilai RM9,350, serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja serta operasi tanpa lesen di pusat hiburan.

Dalam kes berasingan, tujuh lelaki ditahan polis atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa premit dan gagal mengemukakan dokumen diri serta bekerja tanpa permit yang sah, dalam dua serbuan di Jalan SS 2/60, dan di premis Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat.

Menurut beliau, pada serbuan pertama di Jalan SS2/60 itu pada kira-kira 6.30 petang, lima lelaki warga asing berumur lingkungan 23 hingga 27 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta bekerja tanpa permit sah di dalam premis itu.

“Pada serbuan kedua kira-kira 10.50 malam di Amcorp Mall, dua lelaki warganegara berumur 23 dan 59 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

– BERNAMA


Pengarang :