Anggota polis dan tentera mengawal pergerakan berdekatan Tol Kuantan pada 8 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPP: Polis tahan 77 individu, sembilan warga asing

SHAH ALAM, 4 JULAI: Polis menahan 77 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 13 orang direman manakala 64 lagi dikompaun menerusi 69,023 pemeriksaan di seluruh negara semalam.

“Antara kesalahan terbabit termasuk aktiviti sukan sentuh (15), pub atau kelab malam (12) dan 50 individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP),” kata menteri kanan (kluster keselamatan) dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan sembilan warganegara asing kerana kesalahan imigresen menerusi 66 sekatan jalan raya Op Benteng dan memeriksa 35,704 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di lorong tikus.

Secara keseluruhan pemantauan dilakukan di 4,056 pasar raya, 5,545 restoran serta 1,775 penjaja, 1,586 kilang, 3,805 bank dan 1,093 pejabat kerajaan.

Selain itu, 1,225 terminal pengangkutan darat, 260 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara juga dipantau Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.


Pengarang :